SHMMP Tahun Baharu Cina lancar, harga barangan stabil

PETALING JAYA: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 telah berjaya dilaksanakan dari 25 Januari hingga 2 Februari tahun ini bagi menstabilkan harga barangan keperluan semasa musim perayaan.

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, skim itu telah dilaksanakan selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan.

Katanya, sebanyak 16 jenis barangan telah dikawal di bawah SHMMP Tahun Baharu Cina 2025.

“Sebanyak 6007 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara, merangkumi 108 pemeriksaan ke atas premis borong dan 5899 pemeriksaan ke atas premis runcit.

“Terdapat 483 tindakan kes telah diambil terhadap peniaga yang ingkar, melibatkan sitaan bernilai RM21,942.85 membabitkan kesalahan gagal meletakkan tanda harga dan gagal menggunakan tanda harga merah jambu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa sepanjang skim itu dijalankan, tiada sebarang kes membabitkan kesalahan menjual melebihi harga maksimum dikesan.

Menurutnya, kementerian tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2025 kerana majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, pihaknya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi di bawahnya, serta kepada peniaga atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2025.

Justeru, berdasarkan makluman dan pemantauan penguatkuasaan KPDN serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan tersebut telah berjalan dengan baik dan lancar.

Anda Mungkin Berminat