PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa masanya telah tiba untuk Malaysia dan Uzbekistan memahat kerjasama ekonomi ke tahap lebih tinggi.
Ucapan itu disampaikan sempena Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan yang diadakan bersempena lawatan rasmi Presiden Uzbekistan, Шавкат Мирзиёев – Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia.
Anwar berkata, kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan, pelaburan, perdagangan, industri halal, pendidikan, tenaga hijau, industri minyak dan gas serta digital tidak mustahil untuk dicapai.
“Kewujudan sinergi baharu dan perkongsian strategik bakal membawa pulangan lumayan kepada kedua-dua negara untuk diagihkan kepada kebajikan rakyat dan juga aspek pembangunan masa hadapan,” katanya.
Dalam rangka kunjungan rasmi, Anwar turut meraikan Tamu Kenegaraan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev dengan jamuan makan malam di Menara Berkembar Petronas (KLCC) sebagai acara penutup.
“Kunjungan ini ternyata memperkukuhkan hubungan akrab kedua-dua negara di pelbagai bidang.
“Saya yakin ia mampu memberi manfaat semaksima yang mungkin kepada kedudukan negara selain kepada rakyat terbanyak.
“Insya-Allah, hubungan Malaysia-Uzbekistan akan terus erat dan diperhebat sebaiknya,” tambahnya.