Oleh: Dr Anuar Ahmad
ULASAN | Menjadi kebimbangan saya apabila melihat soalan dari ahli parlimen dan jawapan dari kementerian berkaitan pendidikan tidak menggambarkan isu sebenar dalam sektor pendidikan negara. Jawapan yang diberikan juga berdasarkan data-data pendidikan yang lebih bersifat ‘bermain di dalam kotak yang lama’ dan menggambarkan pemikiran pendidikan yang ketinggalan.
Bagi mencetus pemikiran kita, saya beri tiga contoh untuk menunjukkan ‘betapa tertinggalnya’ minda pemimpin pendidikan negara.

Pertama isu vape. Data rasmi KKM jelas menunjukkan masalah vape di kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini sangat serius. Pada 2017, kadarnya ialah 9.8 peratus. Meningkat hampir 50 peratus pada tahun 2022 kepada 14.9 peratus. Jika tidak ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk membenteras isu vape, bayangkan 5 tahun dari sekarang? Mungkin akan meningkat lebih 20 peratus Maksudnya, akan berlaku keadaan di mana seorang bagi setiap 5 orang anak-anak kita adalah perokok vape. Termasuk anak-anak perempuan.
Bayangkan pula kos ratusan juta ringgit dari peruntukan kesihatan rakyat yang terpaksa disediakan oleh kerajaan dari kutipan cukai untuk menguruskan pesakit akibat tabiat vape!

Jelas vape bukan isu kecil lagi. Bukan sekadar 0.38 peratus seperti yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri KPM. Data yang dibentangkan jelas tidak menggambarkan keadaan sebenarnya.
Kedua, isu keciciran. Dibentangkan di Parlimen bahawa keciciran pendidikan semakin menurun. Hanya 0.06 peratus di sekolah rendah dan 0.64 peratus di sekolah menengah. Ahli parlimen mengangguk menerima sahaja ‘data dalam kotak’ ini.
Sebenarnya ada DUA jenis keciciran pendidikan iaitu;
keciciran persekolahan dan keciciran pembelajaran
Angka yang dibentangkan di Parlimen bahawa keciciran pendidikan hanya 0.06 peratus (sekolah rendah) dan 0.64 peratus (sekolah menengah) itu ialah keciciran persekolahan. Sebenarnya, keciciran persekolahan memang telah lama terkawal di negara kita. Para pemimpin pendidikan terdahulu telah lama berusaha mengawal keciciran persekolahan, sejak tahun 1971 lagi melalui Kajian Keciciran Murad. Isu keciciran persekolahan adalah isu 1980an. Hampir selesai pada awal tahun 2000.
Yang menjadi isu keciciran sekarang ialah isu keciciran pembelajaran. Tiga bentuk keciciran pembelajaran iaitu
keciciran 3M, ponteng sekolah dan keciciran persijilan SPM

Keciciran Pembelajaran inilah yang semakin kritikal sekarang. Bukan lagi isu keciciran persekolahan yang dah lama terkawal. Bank Dunia pun dah lama laporkan sejak 2013 lagi, enrolmen murid di Malaysia adalah cemerlang dan berada di atas purata negara di dunia apabila mencecah lebih 90 peratus pada tahun 2012).
Malangnya, sejak 2013 juga, Bank Dunia telah melaporkan isu keciciran pembelajaran di Malaysia semakin meningkat. (Foto). Bukti dari keputusan PISA 2022 dan TIMSS jelas menunjukkan memang berlaku kemerosotan pencapaian murid kita.
Sepatutnya ahli Parlimen bertanyalah soalan yang lebih penting tentang keciciran pembelajaran. Berapa ramai murid yang tidak boleh membaca, menulis dan mengira? Berapa ramai murid ponteng sekolah? Berapa ramai murid yang tidak dapat sijil SPM?

Apa usaha yang telah dilakukan oleh KPM untuk mengekang keciciran pembelajaran? Berkesan atau tidak? Ahli Parlimen patut bertanya mana data dan bukti kejayaan KPM menangani keciciran pembelajaran yang telah dicapai?
Ketiga isu sekolah sesak. Menteri KPM masih menjawab isu sekolah satu sesi. Katanya hampir semua sekolah di negara ini sudah menjadi sekolah satu sesi. Seingat saya, isu sekolah satu sesi ini dasar dan strateginya telah lama ada. Sejak era Tan Sri Muhyidin sebagai Menteri Pendidikan lagi. Sekarang sekolah satu sesi bukan lagi isu besar dalam pendidikan negara.
Yang menjadi isu besar sekarang ialah bilik darjah sesak murid. Apa gunanya semua sekolah menjadi satu sesi tetapi anak-anak murid terpaksa bersesak-sesak di dalam bilik darjah? Sepatutnya, itulah soalan yang mesti ditanya oleh ahli parlimen kepada Menteri KPM.
Tanyalah, berapa jumlah kelas di negara ini telah mencapai 25 orang dalam satu kelas? Berapa kelas yang belum? Berapa pula kelas yang ada lebih 45 murid satu kelas?
Apa kesan pada pembelajaran murid dalam kelas sesak? Cukupkah guru atau tidak? Apa perancangan KPM untuk memastikan 100 peratus kelas di negara ini ini mencapai bilangan 25 murid satu kelas? Itulah soalan pendidikan yang patut ditanya oleh para ahli Parlimen.
***Penulis adalah Felo Bersekutu Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) dan giat menulis mengenai isu pendidikan di sosial medianya
Baca juga: