Kerusi, meja makan kedai Mamak antara disita DBKL


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Tindakan peniaga yang meletakkan barang perniagaan di tempat awam di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi mengundang padah setelah mereka diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menerusi Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Bukit Bintang, agensi itu menyita lapan kes dan enam notis kompaun dikeluarkan terhadap peniaga restoran itu.

“Tindakan dilaksanakan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Antara barangan yang disita adalah meja atau kerusi plastik, gerai besi, kanopi dan lain-lain peralatan.

“Kesemua barang yang dikenakan tindakan sita telah dibawa ke Stor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” kata DBKL dalam kenyataan pada Sabtu.

Bagi mengelakkan perkara sedemikian terus berulang, DBKL tegas membuat pemantauan dari masa ke masa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.

Pihak DBKL turut berharap orang awam untuk terus menghubungi atau menyalurkan maklumat di pautan tertera, https://adukl.dbkl.gov.my/ sekiranya berlakunya kejadian tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat