Chatbot Sebenarnya.my perlu sokongan perundangan – Pensyarah

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menangani berita palsu menerusi Chatbot Sebenarnya.my adalah langkah yang dipuji dan diperlukan, kata Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Taylor’s, Profesor Madya Dr Saidatul Nadia Abd Aziz.

Namun, katanya, walaupun inisiatif itu telah dilaksana oleh beberapa negara luar, perkembangannya yang pesat memerlukan pengawalan yang ketat agar tidak menjejaskan masyarakat.

“Sebab kalau kita biarkan teknologi ini tanpa apa-apa perundangan yang mengawal, dia akan terbuka kepada penyalahgunaan.

“Malaysia perlu mengambil langkah lebih jauh dengan memperkenalkan mekanisme pengawalan yang jelas.

“Contohnya, seperti yang dilakukan oleh Kesatuan Eropah (EU) dengan AIAC (Artificial Intelligence Act) yang baru berkuatkuasa iaitu pengawalan terhadap teknologi AI,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Beliau yang juga menyokong insiatif itu berharap kesedaran masyarakat mengenai berita palsu ditingkatkan melalui program kesedaran yang lebih kreatif dan menyeluruh.

Katanya, berita palsu bukan sahaja tersebar di platform dalam talian, tetapi juga boleh mempengaruhi golongan yang kurang berpengetahuan seperti remaja.

“Kerajaan, agensi kerajaan, serta sektor swasta harus bersatu untuk menangani isu ini dengan serius demi mencapai impak yang positif bagi keselamatan maklumat negara,” katanya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, chatbot yang dinamakan Artificial Intelligence Fact-Check Assistant (AIFA) merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membanteras penyebaran maklumat palsu serta memupuk literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia.

AIFA ialah alat penting untuk memperkasakan rakyat dengan maklumat disahkan oleh pihak berwajib dan mengurangkan impak buruk daripada maklumat palsu yang tersebar.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat