Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menyangkal kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai isu skandal rasuah di Sabah yang disifatkan sebagai cetek dan tidak masuk akal.
Dalam satu perkongsian di Facebook, beliau berkata, video tular melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah seharusnya mencukupi untuk SPRM mengambil tindakan seterusnya.
“Tidak dapat dinafikan bahawa video yang telah tular dalam kes ini mengandungi maklumat yang mencukupi untuk membolehkan SPRM menggunakan pelbagai langkah di bawah Akta SPRM termasuk mencari dan merampas, penyitaan harta alih, pemintasan komunikasi, serta siasatan terhadap akaun suspek,” katanya.
Ramkarpal turut mengkritik kenyataan Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menyatakan SPRM hanya boleh mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak buat masa ini sebagai tidak boleh diterima.
“Kenyataan tersebut mencerminkan pendekatan yang cetek dalam siasatan kes ini dan boleh membawa kepada tanggapan bahawa SPRM tidak mengambil siasatan ini secara serius.
“Akhirnya, boleh menimbulkan spekulasi mengenai pendakwaan terpilih,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa video tular tersebut sudah cukup sebagai bukti untuk SPRM mengambil tindakan segera dan kegagalan SPRM dalam menyiasat kes ini dengan mendalam menggugat kredibiliti suruhanjaya itu.
“Tiada sebarang aspek yang harus diabaikan dalam siasatan terhadap skandal ini.
“SPRM harus mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang memberi gambaran bahawa kes ini akan ditutup atas alasan kekurangan bukti, sedangkan perkara tersebut masih jauh dari realiti,” tegasnya.
Pada tahun lalu, isu skandal rasuah melibatkan ADUN Sabah telah tersebar luas.
Dilaporkan bahawa lapan ADUN serta seorang pemberi maklumat adalah antara 15 individu yang direkodkan keterangan berkaitan video tular dakwaan skandal tersebut.
Susulan perkara itu, Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dijalankan oleh pihak polis di Sabah dengan SPRM sentiasa bertukar maklumat untuk memastikan kelancaran proses.
Setakat ini, SPRM telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.