PARLIMEN | Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji keperluan mahkamah khas bagi mempercepat proses pendakwaan di bawah kesalahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau yang juga Menteri KDN berkata, pengwujudan mahkamah khas itu antara tiga hala tuju kajian pelaksanaan menambah baik akta tersebut.
“Kami akan mengkaji keperluan dan kesesuaian penubuhan mahkamah khas, sama seperti mahkamah jenayah khas berkaitan rasuah, pendatang tanpa izin, jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pemerdagangan manusia, alam sekitar dan jenayah siber.

“Sekarang, ada keperluan kita mempertimbangkan untuk mengadakan mahkamah khas ini supaya pesalah tidak perlu menunggu lama kerana isu jaminan akan timbul,” katanya semasa penjelasan menteri di Dewan Rakyat pada Rabu.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan juga akan membuat semakan semula jadual kesalahan yang tidak boleh dijamin secara mutlak sebelum ini, bagi membolehkan mahkamah memberi jaminan berkenaan.
“Di bawah peruntukan semasa, ikat jamin tidak dibenarkan bagi kesalahan di bawah kesalahan tidak boleh jamin kecuali di bawah Seksyen 13(2) yang melibatkan wanita, kanak-kanak bawah 18 tahun dan warga emas atau pesalah sakit.
“Kami akan menyemak 73 kesalahan di bawah akta tersebut, bahagian dan kesalahan mana yang boleh kami serahkan kepada budi bicara mahkamah,” tambahnya.
Beliau berkata, hala tuju ketiga adalah Kerajaan juga akan mengkaji keperluan untuk meminda Seksyen 30 Akta berkenaan, berhubung penahanan sementara menunggu selesainya prosiding undang-undang.
“Berikutan itu, satu jawatankuasa khas akan dibentuk untuk mengkaji dan meneliti cadangan penambahbaikan sebelum membentangkan sebarang pindaan.
“Lebih cepat jawatankuasa membuat kesimpulan, lebih cepat kita boleh membentangkan,” katanya, sambil menambah bahawa beliau menjangkakan pindaan itu akan dibentangkan pada sesi parlimen Julai.
Minggu lalu, mesyuarat Kabinet bersetuju agar SOSMA diteliti dan disemak.
Baca juga: