Pengelasan B40, M40, T20 tidak tepat

PARLIMEN | Satu pengelasan baharu dicadangkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) selepas mendapati pengelasan kumpulan pendapatan sedia ada mengikut B40, M40 dan T20 adalah tidak tepat.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, KRI telah mencadangkan agar pengelasan baharu dijalankan bagi memastikan demografi isi rumah negara lebih tepat, berdasarkan kajian mereka pada 30 Disember 2024.

“KRI mencadangkan pengelasan pendapatan kepada B20, M50 dan T30. Aspirasi golongan kelas pendapatan menengah berada dalam kumpulan T30,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Rafizi berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Sahamshulkahar Mohd Deli yang ingin tahu apakah kerajaan bercadang untuk melaksanakan pengelasan semula kumpulan pendapatan 40 peratus terendah (B40), 40 peratus pertengahan (M40) dan 20 peratus tertinggi (T20) yang kini tidak mencerminkan realiti stratifikasi ekonomi isi rumah di Malaysia.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, kerajaan telah memaklumkan berkenaan cadangan peralihan kaedah pengenalpastian kumpulan sasar daripada pengkelasan kumpulan pendapatan isi rumah B40, M40 dan T20 berasaskan Pendapatan Kasar kepada Pendapatan Boleh Guna Bersih, (Net household Disposable Income).

“Kerajaan berpandangan konsep pendapatan boleh guna bersih (net disposable income) ini boleh diperkenalkan sebagai asas untuk pemberian bantuan bagi mengurangkan risiko keciciran dan bersifat lebih adil mengambil kira aspek kehidupan wajar serta berbeza mengikut lokasi dan demografi isi rumah,” tambahnya.

Secara umumnya, pengelasan kumpulan pendapatan adalah bertujuan untuk membantu penggubalan dasar sosio ekonomi bagi menyampaikan bantuan dan perkhidmatan kepada kumpulan sasar.

Kaedah itu merujuk kepada metodologi statistik yang menyusun isi rumah mengikut pendapatan dari terendah hingga ke tertinggi kepada beberapa saiz kumpulan yang sama atau desil berdasarkan kedudukan relatif dalam taburan pendapatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat