KPDN keluar 47 notis kepada peniaga naik harga santan

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil langkah tegas dengan mengeluarkan sebanyak 47 notis kepada peniaga kelapa dan santan kelapa yang didapati menaikkan harga secara tidak berpatutan.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], dengan tiga kertas siasatan telah dibuka terhadap peniaga yang disyaki melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.

“Dua buah syarikat pengeluar santan telah diarahkan hadir memberikan keterangan susulan pengumuman kenaikan harga oleh kedua-dua syarikat tersebut.

“KPDN akan terus memantau dan menguatkuasakan peraturan ini bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga.

“KPDN juga memberikan amaran keras kepada mana-mana pihak agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata Azman, individu yang didapati bersalah mencatut boleh dikenakan tindakan di bawah akta tersebut.

Jelasnya, sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi pertubuhan perbadanan.

“Manakala denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat