PENDUDUK negeri Wakal, Kecamatan Leihitu, Kabupaten Maluku Tengah (Malteng) di Indonesia sudah mula menjalani ibadah puasa lebih awal bermula 27 Februari.
Komuniti di kawasan itu juga telah menunaikan solat tarawih di Masjid Nurul Awal pada malam Rabu (26 Februari), lapor Kompas.com.
Raja Wakal, Ahaja Suneth berkata, pelaksanaan solat tarawih dan puasa Ramadan lebih awal daripada pengumuman dibuat pemerintah adalah berdasarkan hitungan bulan dan ia telah dilakukan sejak turun-temurun.
“Kami bukanlah mahu mendahului pemerintah tapi berdasarkan pengiraan untuk menentukan awal Ramadan berpandukan 29 hari pada bulan Syaaban. Kebanyakan orang hitung Syaaban mempunyai 30 hari sedangkan kiraan itu salah dan tidak tepat.
“Sudah pasti warga Wakal juga akan meraikan Aidilfitri lebih awal daripada penduduk lain,” ujarnya.
Difahamkan, Kementerian Agama (Kemenag) hanya akan mengadakan sesi isbat (penentuan) awal Ramadan pada Jumaat meskipun Pimpinan Pusat (PP) organisasi Islam terbesar, Muhammadiyah telah menetapkan 1 Ramadan jatuh pada Sabtu.