KOTA BHARU: Tiga lelaki tempatan ditahan pada Jumaat ketika cuba menyeludup hampir 42,700 biji kelapa ke Thailand dengan menggunakan sebuah treler.
Tiga lelaki tersebut ditahan di stor pangkalan haram di Tumpat, Kelantan pada jam kira-kira 10.30 malam oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan itu.
“Siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek yang berusia 22 hingga 38 tahun itu disyaki berperanan sebagai penghantar untuk menyeludup kelapa tersebut ke Thailand.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah treler dianggarkan bernilai RM 1.2 juta. Ketiga-tiga suspek dan barangan rampasan dibawa ke kompeni taktikal PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” menurut Briged Tenggaran PGA dalam hantaran di Facebook.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965.