PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan beberapa pihak yang masih memainkan isu terkait Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta PSB).
Setiausaha Akhbar Kanan beliau, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri menegaskan undang-undang yang akan dibawa ke Parlimen kelak, tidak akan memaksa mana-mana pemilik rumah atau tanah untuk diusir.
“Akta itu juga tidak akan mengubah peratusan pemilikan Bumiputera atau mengubah komposisi etnik di sesuatu kawasan.
“Oleh itu, tidak timbul isu Melayu Bumiputera dipinggirkan daripada arus kemajuan bandar kerana matlamat utamanya adalah memastikan peningkatan kualiti hidup masyarakat bandar, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan di Facebook PMO Malaysia pada Isnin.
Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan fitnah yang tidak berasas.
“Mengambil contoh terbaru, terdapat hantaran di laman sosial yang mengulangi naratif fitnah usang dan jahat, bertujuan menimbulkan kegusaran awam mengenai laungan azan.
“Naratif seperti ini akan muncul setiap kali musim pilihan raya. Budaya seperti ini perlu dinoktahkan segera bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat dan negara,” katanya.