PM gesa NADMA perkemas penyelarasan jentera

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkemas penyelarasan kekuatan jentera persekutuan dan negeri bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri turut meminta NADMA untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada ketua isi rumah mangsa banjir yang terbabit.

“Perdana Menteri hari ini memberi perhatian khusus kepada situasi banjir yang berlaku di Sabah dan Sarawak ketika ini,” katanya

Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan di Facebook PMO Malaysia pada Isnin.

Media melaporkan, situasi banjir di Sabah semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan menunjukkan peningkatan mendadak manakala di Sarawak jumlah mangsa turut meningkat sedikit.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat petang tadi, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah meningkat kepada 4,406 orang di lima daerah pedalaman yang dilanda banjir.

Sementara itu di Sarawak, sebanyak tiga PPS dibuka di tiga daerah dengan jumlah mangsa banjir 340 orang.

Anda Mungkin Berminat