Lima warga asing ditahan, seleweng minyak masak bersubsidi

PETALING JAYA: Enam lelaki termasuk lima warga asing telah ditahan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) atas tuduhan penyelewengan minyak masak bersubsidi di Taman Semenyih Jaya, Selangor.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan pada pukul 4 petang semalam mendapati premis tersebut menjadi stor penyimpanan minyak masak bersubsidi yang dipindahkan ke tangki jenis intermediate bulk container (IBC) untuk dijual semula kepada pihak industri.

“Pihak KPDN merampas empat unit tangki IBC yang mengandungi 4,168 kg minyak masak dengan nilai anggaran RM40,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Azman berkata, penahanan tersebut adalah hasil risikan selama tiga bulan dan suspek disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Selain itu, katanya, syarikat terlibat juga disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman memaklumkan bahawa sehingga 28 Februari, terdapat 94 kes berkaitan minyak masak yang melibatkan rampasan 104,447 kg minyak masak bernilai RM109,000 di seluruh negara menerusi pelaksanaan OP TIRIS 3.0.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha KITA GEMPUR yang dilancarkan pada 19 Oktober 2024 untuk menangani isu manipulasi dalam perniagaan serta ketirisan barang kawalan dan barang bersubsidi,” katanya.

Anda Mungkin Berminat