PETALING JAYA: Parti Tindakan Demokratik (DAP) menegaskan komitmennya untuk terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mencadangkan agar dalam tempoh 24 bulan, kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Langkah itu, katanya, akan menjadi legasi penting dalam pentadbiran negara.
“DAP komited untuk terus menyokong, memegang jawatan Perdana Menteri selepas PRU16, sama ada dalam model Kerajaan Perpaduan atau ‘configuration’ baharu.
“Kita akan terus berpegang bahawa yang akan wakili Pakatan Harapan (PH) tidak ada calon kedua selain Anwar,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal Centre (IDCC) Shah Alam pada Ahad.
Anthony turut memberi jaminan bahawa DAP akan kekal setia kepada gabungan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan sejarah hitam seperti Langkah Sheraton tidak berulang.
“Kita (DAP) adalah rakan sejati. Kami tidak akan menikam dari belakang. Jika Kerajaan Madani ini berjaya, maka Malaysia juga akan berjaya,” tegasnya.
Beliau juga memuji pentadbiran Anwar selama 28 bulan yang telah membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul dari sudut ekonomi dan politik.