Menteri Agama kecam kekejaman Israel ke atas petugas kemanusiaan di Gaza

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dengan lantang mengecam serangan udara Israel yang mengorbankan lapan petugas kemanusiaan dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Gaza.

Tragedi itu berlaku ketika mereka sedang menjalankan misi bantuan di wilayah yang terus bergolak.

Dalam satu kenyataan, Mohd Na’im menyampaikan rasa dukacita mendalam dan takziah kepada keluarga mangsa.

Beliau menyifatkan tindakan Israel sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa serta Konvensyen Geneva yang melindungi petugas kemanusiaan di zon konflik.

“Tindakan ini adalah satu penghinaan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.

“Dunia tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman ini yang hanya menambah penderitaan rakyat Palestin yang telah lama tertindas,” tegasnya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus berdoa, membaca Qunut Nazilah dan memberikan sokongan berterusan kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Kita perlu bersatu dalam menyalurkan sumbangan dan bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban saudara-saudara kita di Gaza,” tambahnya.

Mohd Na’im juga berkata, agensi di bawah kementeriannya akan terus komited membantu rakyat Palestin, sambil menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak tegas terhadap kekejaman itu.

Terdahulu, tragedi pembunuhan ini mendapat kecaman meluas di peringkat antarabangsa dengan ramai pihak menyifatkan serangan terhadap petugas kemanusiaan yang tidak bersenjata sebagai jenayah perang.

Serangan tersebut bukan sahaja meragut nyawa, tetapi turut mencederakan beberapa petugas lain, sekali gus mengganggu operasi bantuan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berpanjangan.

Dalam suasana duka ini, Mohd Na’im mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin dan keselamatan semua petugas kemanusiaan yang terus berjuang demi membantu mereka.

“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada mereka yang terlibat dalam perjuangan ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat