SABAK BERNAM: Mayat seorang bayi ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam mangkuk tandas wanita di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, penemuan itu dilaporkan oleh orang awam kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum pihak berkuasa tiba di lokasi.
“Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi berkenaan telah meninggal dunia pada jam 11.15 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan individu yang terlibat dalam kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452.
Sementara itu, kejadian itu tular di media sosial apabila beberapa pengguna memuat naik gambar lokasi kejadian, mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang mengecam perbuatan tidak berperikemanusiaan .