Titah adendum: Mahkamah tolak rayuan Najib

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Razak terhadap permohonan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam kes berkaitan perintah adendum diraja.

Perintah itu didakwa membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani tahanan rumah.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Hasnah Mohammed Hashim selepas mendengar hujahan pihak terlibat.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Susulan keputusan itu, mahkamah akan meneruskan prosiding bagi mendengar permohonan Peguam Negara yang mahu merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung perkara berkenaan.

Najib sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 1 April 2024 dengan menamakan tujuh responden termasuk Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan serta kerajaan.

Beliau memohon perintah mandamus agar responden mengesahkan kewujudan perintah adendum bertarikh 29 Januari 2024, yang didakwa memberi kebenaran untuknya dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun, pada 4 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib atas alasan afidavit yang dikemukakan mengandungi keterangan bersifat ‘hearsay’

Najib kemudian memfailkan rayuan dan pada peringkat Mahkamah Rayuan, beliau berjaya mendapatkan keputusan berpihak kepadanya.

Berikutan itu, Peguam Negara membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan.

Anda Mungkin Berminat