PETALING JAYA: Malaysia telah mengambil langkah proaktif dalam menangani pelaksanaan tarif import baharu yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia sudah menjangka potensi kenaikan tarif dan mula mempelbagaikan pasaran eksport sejak tahun lalu, termasuk ke negara seperti Kenya, Oman, Namibia, Angola, Ethiopia, Mesir dan Algeria.
“Pasaran yang mencatat peningkatan besar adalah Angola dengan lonjakan sebanyak 59.3 peratus diikuti Ethiopia (56.04 peratus), Mesir (53.06 peratus) dan Algeria (27.09 peratus).
“Kerajaan juga giat mengadakan perjanjian perdagangan bebas dengan pelbagai negara dengan awal tahun ini kita sudah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA).
“Selain itu, kita juga sudah mulakan semula rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Korea Selatan pada tahun lalu,” katanya dalam satu video di Facebook.
Tambah beliau, pasaran ASEAN turut diberi tumpuan sebagai kawasan berpotensi tinggi dengan perdagangan antara negara masih di bawah 25 peratus.
Trump sebelum ini mengumumkan tarif import 10 peratus ke atas semua negara, dengan kadar lebih tinggi terhadap beberapa negara Asia termasuk Malaysia (24 peratus).
Bagi melindungi ekonomi rakyat, Tengku Zafrul menegaskan kekuatan utama negara terletak pada perbelanjaan domestik yang menyumbang lebih 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Sebelum ini juga kita turut menubuhkan Pusat Pengurusan Geoekonomi Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merangka strategi komprehensif dalam menangani isu seperti ini.
“Pada masa yang sama kita akan teruskan rundingan dengan kerajaan AS untuk cari jalan penyelesaian menang-menang bagi kedua belah pihak.
“Yakinlah kerajaan akan sentiasa berusaha untuk memastikan kepentingan ekonomi Malaysia dan rakyat dilindungi sebaik mungkin,” katanya.
Baca juga: