MUAR: Seorang pengurus syarikat berusia 45 tahun mengalami kerugian sebanyak RM651,800 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi aplikasi Facebook.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, mangsa membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu.
“Mangsa tertarik dengan satu iklan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Mangsa kemudian menekan pautan yang disediakan dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp atas nama sebuah syarikat.
“Mangsa telah berhubung dengan lima individu yang berlainan melalui WhatsApp dan diberi penerangan lanjut mengenai pelaburan tersebut.
“Mangsa kemudian diminta memuat turun serta mendaftar akaun pelaburan melalui satu aplikasi khusus untuk memantau pelaburannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, teruja dengan janji pulangan lumayan, mangsa telah melakukan 25 transaksi pembayaran ke tiga akaun bank berbeza antara 13 Februari hingga 27 Mac 2025.
Namun, sepanjang tempoh pelaburan, mangsa langsung tidak menerima sebarang pulangan, malah terus didesak untuk membuat pembayaran tambahan bagi menuntut “keuntungan” dijanjikan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
Baca juga: