PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menyampaikan amanat penuh inspirasi kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam perjumpaan bulanan April 2025 yang berlangsung di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menekankan beberapa intipati penting sebagai panduan kepada pegawai awam untuk terus memacu kecemerlangan negara.
Beliau mengingatkan bahawa Syawal adalah bulan kemenangan selepas Ramadan dan simbol kejayaan melawan hawa nafsu dan membina keyakinan diri.
“Pegawai awam diingatkan untuk melaksanakan reformasi dengan penuh tanggungjawab, mengelakkan kecuaian dan ketirisan yang boleh menjejaskan usaha perubahan.
“Semua pegawai awam untuk bersama-sama mengangkat martabat negara sebagai sebuah negara yang hebat dan cemerlang serta mengelakkan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyeru agar hubungan serantau turut diperkukuh.
“Kita menggunakan kekuatan hubungan ASEAN sebagai satu kelompok berdiri tegap dan mengemukakan pandangan yang menunjukkan kesepakatan dalam perundingan itu lebih menjadi kukuh, ” katanya.