PETALING JAYA: Gabungan Bina Semula Syria (GBSS) menyambut baik kesediaan Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dengan kerajaan baharu Syria seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa.
Menurut GBSS, langkah itu merupakan isyarat penting yang membuka ruang kerjasama lebih menyeluruh antara kedua-dua negara dalam pelbagai sektor termasuk pelaburan, pendidikan, pertanian, teknologi dan tenaga.
“Ia turut mencerminkan komitmen Malaysia dalam peranan diplomatik serta kemanusiaan di peringkat antarabangsa khususnya dalam membantu negara pascakonflik.
“GBSS menyifatkan pendirian Malaysia sebagai selari dengan harapan rakyat Syria yang mahukan pemulihan negara secara aman dan inklusif selepas penyatuan pelbagai fraksi termasuk SDF dalam kerajaan baharu Syria,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
GBSS turut melihat usaha itu sebagai peluang kepada penglibatan sektor swasta, masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyumbang dalam pembangunan semula Syria secara mampan.
Mereka turut menyokong gesaan Perdana Menteri agar syarikat-syarikat Malaysia terlibat dalam inisiatif pemulihan Syria melalui pendekatan kemanusiaan dan pembangunan bersama.
“Gabungan lebih 20 NGO kemanusiaan di bawah GBSS menyatakan komitmen untuk terus menjadi penghubung dan penggerak bantuan merentas enam kluster utama pendidikan, ekonomi, kesihatan, penempatan, kebajikan dan advokasi dalam menyokong rakyat Syria membina semula negara mereka,” katanya.