Kenaikan tarif: Anwar bawa suara ASEAN demi kestabilan ekonomi rantau

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah proaktif Malaysia dalam menghadapi impak tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 yang bermula pada minggu ini, Anwar menyatakan komitmen untuk membawa isu itu kepada perbincangan menyeluruh dengan ketua-ketua negara ASEAN demi kestabilan ekonomi rantau.

“Isu tarif Amerika Syarikat yang mana perkara ini memerlukan perbincangan dan rundingan yang menyeluruh bagi membawa suara komuniti ASEAN,” kata Setiausaha Akhbar Kanan PM, Tunku Nashrul Abaidah menerusi Taklimat Harian Perdana Menteri, hari ini.

Beliau berkata, mengenai impak geoekonomi susulan pengumuman tarif Amerika Syarikat, Anwar sekali lagi mengingatkan tentang langkah proaktif yang telah, sedang dan bakal diambil di bawah tatakelolanya berasaskan kepada pendekatan ‘whole-of-nation’.

“Langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan termasuklah pengaktifan semula Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC).

“Penubuhan pasukan petugas oleh MITI untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada industri mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN, strategik peringkat tertinggi secara langsung dengan Amerika Syarikat serta usaha memperluas dan mempelbagaikan pasaran eksport Malaysia ke rantau-rantau serta blok ekonomi baharu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut akan meningkatkan penggunaan perjanjian perdagangan bebas sedia ada dan baharu.

Jelasnya lagi, langkah-langkah tersebut diyakini bakal memperkukuh lagi daya tahan negara serta menstabilkan pasaran dan melindungi pekerjaan serta pelaburan rakyat.

Tambah Tunku Nashrul, walaupun landskap ekonomi dunia sedang berhadapan dengan situasi sukar, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan daya tahan ekonomi Malaysia yang kuat, berupaya menampung gelombang ini untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Dengan itu, beliau menyarankan kesemua sektor perniagaan dan rakyat Malaysia perlu bekerjasama dengan pendekatan senegara bagi menjamin kesejahteraan sosio-ekonomi.

Maka dengan itu, katanya, Kerajaan Madani akan dapat melipat gandakan komitmen memelihara malah memastikan akses pasaran tidak terjejas selain terus menarik pelaburan asing, meneruskan agenda reformasi ekonomi bagi menyokong rantaian bekalan serta kesejahteraan pekerja serta perniagaan di Malaysia.

Anda Mungkin Berminat