Petronas dalam fasa nilai impak kewangan, operasi insiden letupan gas di Putra Heights

PETALING JAYA: Petronas Gas Berhad (PGB) kini sedang giat menilai impak kewangan dan operasi akibat insiden tragis letupan serta kebakaran saluran paip gas utama di Putra Heights.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, PGB berkata, syarikat sedang bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca kejadian yang mengejutkan.

“Siasatan dijangka selesai pada Mei 2025, keutamaan kami selepas pulih daripada insiden ini adalah memastikan keselamatan orang ramai, memberi bantuan kepada mereka yang terjejas, serta menjamin keselamatan bekalan gas,” jelas kenyataan tersebut.

Petronas turut mengesahkan bahawa langkah-langkah pembaikan sedang diteliti bersama pihak berkuasa untuk memastikan operasi dapat diteruskan dengan lancar di kawasan berkenaan.

“Syarikat kekal komited sepenuhnya untuk menangani perkara ini dengan keutamaan tertinggi serta terus menyediakan maklumat terkini berkaitan situasi ini,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat