PM seru rakyat elak hasutan kelompok ‘bebal’ di media sosial

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk kekal tenang dan tidak terpengaruh dengan naratif berbaur perkauman yang semakin tular di media sosial.

Anwar berkata, setiap ruang berhubung isu yang berlaku harus ditutup sebaiknya manakala isu yang dimainkan di media sosial tidak disensasikan untuk kepentingan sendiri.

Dalam ucapannya sempena Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan April 2025 di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITA, Anwar menjelaskan terdapat banyak keterlaluan dalam talian termasuk naratif palsu, sering kali memperbesar-besarkan insiden kecil yang sebenarnya boleh diselesaikan secara baik.

“Kadang-kadang kita terlalu mudah terpengaruh dengan media sosial kerana mereka suka sensasi.

“Perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan baik, dibesar-besarkan seolah-olah perang akan berlaku, perang kerana kuil, perang kerana belon.. Padahal kita boleh atasi dengan baik.

“Sebab itu saya ingin mengesyorkan supaya jangan berikan ruang,” katanya.

Anwar turut mengkritik sikap segelintir pihak yang gemar mempolitikkan isu hingga sanggup melabel orang lain dengan istilah yang menghukum, seperti kafir atau munafik.

Beliau menegaskan bahawa sikap sedemikian tidak membawa manfaat kepada keharmonian masyarakat.

“Jangan berikan ruang kerana sesetengah orang dia bebal ini dan dia tidak fikir kepentingan umum semuanya mahu dipolitikan semuanya mesti dengan cara menghukum tersebut juga kita semuanya kafir dan munafik semuanya jahat tak boleh begitu,” katanya lagi.

Perdana Menteri menyeru rakyat untuk terus berpegang kepada tonggak Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan, sambil menjunjung kepentingan bersama tanpa bersikap menghukum terhadap kaum atau golongan lain.

Beliau mengingatkan bahawa ajaran agama tidak pernah mengajar untuk menghina kaum minoriti.

“Tidak bermakna kita harus sentiasa kalau ada kenyataan dengan golongan minoriti suku lain suku lain, kaum lain itu mesti terus menghina sahaja, (masyarakat) tidak boleh dan tidak pernah menjadi asas dalam ajaran agama kita,” katanya.

Anwar berkata demikian susulan kontroversi pemindahan sebuah kuil berusia lebih 100 tahun dan insiden melibatkan penjual belon serta pihak DBKL yang menjadi perbualan hangat di media sosial, baru-baru ini.

Anda Mungkin Berminat