PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tarif tambahan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap beberapa negara, termasuk Malaysia, yang disifatkan sebagai tidak teliti dan mencetuskan keraguan.
Anwar menekankan pentingnya Malaysia bersiap siaga menghadapi kesan ekonomi yang mungkin timbul akibat tindakan tersebut.
“Pasca ‘normal time’ kadang-kadang melihatkan beberapa kebijakan politik dan ekonomi yang tidak terjangka.
“Ini termasuk pengumuman tarif dengan asas yang saya ingat agak lemah dan penentuan tarif diputuskan itu dengan asas yang dipertikai.
“Beberapa negara disebut termasuk pulau yang hanya diduduki penguin. Itu maknanya (keputusan tarif tambahan oleh AS) belum benar-benar teliti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri, di sini, hari ini.
Beliau turut menyeru ASEAN untuk berdiri teguh sebagai blok ekonomi yang berpengaruh dengan jumlah penduduk seramai 640 juta dan kekuatan ekonomi yang signifikan.
Beliau berkata, Malaysia, melalui Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan dan Industri sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara anggota ASEAN untuk menyelaraskan pendirian bersama.
Anwar turut memaklumkan bahawa Menteri Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN pada Khamis ini.
Mesyuarat itu bertujuan merangka strategi bersama dan membincangkan kesan serta tindakan susulan terhadap tarif baharu yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump.
“Kita gunakan kekuatan supaya ASEAN sebagai satu kelompok berdiri tegak dan mengemukakan pandangan yang menunjukkan ada kesepakatan. Jadi asas perundingan (dengan AS) itu lebih kukuh,” katanya.
Semalam, Anwar menjelaskan bahawa walaupun ekonomi Malaysia masih berada dalam keadaan kukuh dan tidak dijangka mengalami kemelesetan.
Katanya, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2025 sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus mungkin perlu dikaji semula sekiranya tarif itu dilaksanakan.
Beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN termasuk Perdana Menteri Vietnam dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto untuk memperkukuh pendirian serantau terhadap tindakan AS itu.