PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menekankan keperluan segera untuk mewujudkan mekanisme aduan yang terbuka, telus dan mesra pelajar dalam usaha membanteras budaya buli di institusi pendidikan.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata, sistem aduan tersebut perlu lebih mesra pelajar supaya mereka berani bersuara tanpa teragak-agak untuk melaporkan sebarang kejadian buli.
“Pelajar mesti merasakan bahawa mereka dilindungi dan suara mereka didengar. Justeru, sistem aduan perlu bersifat mesra pelajar, terbuka dan memberi jaminan kerahsiaan serta perlindungan kepada pemberi maklumat (whistleblower),” jelasnya dalam kenyataan media pada Rabu.
Menurut beliau, kejadian buli yang berlaku bukan sahaja mencemarkan imej institusi pendidikan, malah menimbulkan trauma jangka panjang kepada mangsa yang boleh menjejaskan kesihatan mental, prestasi akademik dan keyakinan diri.
Selain sistem aduan, beliau turut menggesa agar semua sekolah terutamanya institusi berasrama melaksanakan Dasar Anti-Buli secara menyeluruh, meliputi pencegahan, pengesanan awal dan pemulihan.
“Latihan kepada guru, warden dan kakitangan sekolah juga perlu diperkasa untuk meningkatkan kepekaan terhadap gejala buli.
“Pelajar pula perlu dididik tentang nilai empati dan hormat sesama rakan serta diberi dorongan untuk melaporkan salah laku tanpa rasa takut,” katanya lagi.
AMANAH turut mencadangkan agar ibu bapa dan komuniti turut dilibatkan melalui platform aduan bersama di setiap sekolah berasrama penuh.
“Setiap sekolah bukan sekadar tempat pembelajaran, tetapi medan pembentukan sahsiah. Jika suasana tidak selamat, masa depan generasi muda akan tergugat,” tambahnya.
Sebelum ini tular video yang mengaitkan perbuatan buli membabitkan pelajar MRSM.
Rakaman video berdurasi 1.31 minit tersebar di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.
Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada punggung, namun tidak dapat dipastikan ia cuma suatu gurauan atau perbuatan buli.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, seramai tujuh pelajar yang terlibat dalam insiden buli itu disyorkan untuk ditamatkan pengajian di institusi berkaan.
Katanya, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) telah memutuskan keputusan tersebut dalam satu mesyuarat.
Baca juga: