Trump ugut syarikat Taiwan dengan cukai 100% jika tidak bina kilang di AS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendedahkan beliau telah memberi amaran kepada syarikat Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) untuk membayar cukai sehingga 100 peratus sekiranya gagal membina kilang di Amerika Syarikat (AS).

Kenyataan itu dibuat dalam ucapannya pada satu acara anjuran Jawatankuasa Kebangsaan Kongres Republikan (RNCC).

“TSMC, saya tak beri mereka satu sen pun… saya cuma kata, kalau kamu tak bina kilang di sini, kamu akan dikenakan cukai yang besar,” tegas Trump memetik laporan Reuters.

Trump turut mengkritik pentadbiran Presiden Joe Biden yang memberikan geran berjumlah AS$6.6 bilion kepada unit TSMC di AS bagi tujuan pengeluaran semikonduktor di Phoenix, Arizona.

TSMC merupakan pengeluar cip kontrak terbesar di dunia.

Pada Mac lalu, syarikat itu mengumumkan di White House bahawa mereka merancang untuk melabur sebanyak AS$100 bilion di Amerika Syarikat, termasuk pembinaan lima lagi kemudahan pengeluaran cip dalam beberapa tahun akan datang.

Sementara itu, menurut laporan Reuters yang diterbitkan awal Selasa, TSMC mungkin berdepan denda melebihi AS$1 bilion untuk menyelesaikan siasatan kawalan eksport Amerika Syarikat berkaitan cip yang dihasilkan syarikat itu dan dikatakan berakhir dalam pemproses AI milik syarikat teknologi China, Huawei.

Trump menekankan bahawa syarikat semikonduktor seperti TSMC tidak memerlukan bantuan kewangan kerajaan, sebaliknya menegaskan pendekatan tegas seperti mengenakan cukai lebih berkesan dalam mendorong syarikat luar membina fasiliti di dalam negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat