Global

Bapa mohon kerajaan bantu selamatkan anak di Gaza

Bapa kepada seorang rakyat Malaysia yang berada di Semenanjung Gaza meminta campur tangan kerajaan bagi membantu untuk mengeluarkan anaknya dari wilayah bergolak itu.

Haron Hamim, 65, yang juga bapa kepada Nurul Ain Haron, 37, berbuat demikian selepas tiada sebarang kata putus untuk membawa pulang anaknya.

“Wisma Putra hanya minta maklumat keluarga dan akan maklumkan kepada saya atau ahli keluarga kalau ada perkara yang berlaku tetapi apabila ditanya mengenai perancangan, mereka tidak boleh berkata apa-apa lagi.

“Mungkin mereka ada perancangan atau rahsia sendiri yang tidak diberitahu kepada saya dengan keadaan pintu Rafah yang masih ditutup. Memang susah untuk keluarkan dia (Nurul Ain) tetapi dengan kuasa ALLAH, siapa tahu.

“Semua ini urusan ALLAH untuk tentukan hidup atau mati. Namun, sebagai seorang ayah, saya menanti-nantikan kepulangannya dan yakin dengan nawaitu (niat), ALLAH akan bantu serta dia akan pulang ke pangkuan keluarga,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Tambah Haron, ahli keluarga menjadi tempat untuk dia mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terkini tentang keadaan di Gaza.

“Saya sering telefon dengan dia (Nurul Ain) pada waktu petang dan malam (waktu tempatan). Itu pun nasib juga. Kadang-kadang sepanjang hari tak dapat hubungi kerana susah nak dapat.

“Dia juga ada beritahu kepada saya, seramai 14 orang ahli keluarga sebelah suaminya telah pun syahid dalam peperangan itu.

“Saya merayu kepada rakyat Malaysia untuk doakan keselamatan Nurul Ain dan seluruh warga Palestin yang ditindas. Saya harap mereka selamat,” katanya.

Untuk rekod, Nurul Ain yang tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama suaminya, Mohamed Adnan Shaat, 33, sebelum ini dilaporkan berada di Gaza kerana bercuti.

Nurul Ain juga berkongsi video keadaan penduduk Gaza yang terputus bekalan air dan elektrik selain terpaksa mencari sumber lain demi kelangsungan hidup.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close