WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membuat pengumuman mengejut dengan menangguh penguatkuasaan tarif kepada lebih 75 negara termasuk Malaysia kecuali China, semalam.
Menurut arahan eksekutif yang ditandatangani Khamis lalu, tarif tersebut akan berkuat kuasa bermula 9 April.
Tetapi lewat malam tadi ia ditangguh secara mengejut untuk negara-negara yang tidak mengenakan tarif balasan setara.
Keputusan tersebut dibuat dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas kadar tarif baharu dilaksanakan oleh pentadbiran Trump yang menyaksikan pasaran saham dunia merudum.
“Saya lihat malam tadi ramai pihak berasa ‘jelik dan muak’ dan kini, pasaran saham sudah semakin bagus,” kata Trump kepada media selepas membuat pengumuman tersebut, memetik laporan media tempatan
Menerusi langkah terbaharu itu, Trump memaklumkan beliau akan menangguhkan tarif baharu selama tiga bulan di sejumlah negara bagi membolehkan pentadbirannya berbincang dengan negara-negara yang mahu mengurangkan kadar tarif berkenaan.
Namun, beliau tetap menekan Beijing dengan menaikkan tarif sehingga 125 peratus berbanding 104 peratus sebelum ini.
Katanya, China tidak memerlukan pengecualian tersebut.