PETALING JAYA: Seorang lelaki warga asing ditemukan maut dalam kejadian banjir dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di sebuah stor menyimpan barang-barang pembinaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25 hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian ini kira-kita 10.51 pagi daripada orang awam.
“Siasatan awal mendapati premis tempat mangsa ditemukan adalah sebuah stor menyimpan barang-barang pembinaan dan turut dijadikan tempat tinggal simati.
“Pemeriksaan lanjut dalam premis mendapati ada satu mayat seorang lelaki warganegara Sri Lanka berumur 27 tahun.
“Simati dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan memakai t-shirt warna merah berlengan pendek dan memakai seluar pendek warna coklat dan turut dijumpai seekor anjing yang mati terkena renjatan elektrik di sisi si mati,” katanya memetik laporan media tempatan.
Mohd Iqbal berkata, sebelum pemeriksaan dibuat, polis perlu menunggu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlebih dahulu untuk mematikan (cut off) bekalan elektrik di premis berkenaan sebelum boleh memeriksa mayat.
“Pemeriksaan ke atas badan simati mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh simati yang boleh menyebabkan kematian simati.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi tujuan bedah siasat.
“Siasatan dijalankan di bawah Sudden Death Report (SDR),” tambahnya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, seramai 137 penduduk di beberapa kawasan di Selangor terjejas akibat kejadian banjir kilat yang berlaku awal pagi tadi.
Katanya, pihak berkuasa sudah pun menggerakkan usaha pemantauan serta memberikan bantuan segera di lokasi terbabit.
“Kerajaan negeri turut bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta pihak berkuasa tempatan PBT) dalam usaha menyalurkan bantuan dan memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya diperlukan,” ujarnya.