PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan bekerjasama dengan PDT Sepang untuk memastikan tindakan pencerobohan di tapak pembinaan Masjid Dengkil, dibersihkan dalam tempoh sebulan.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, tindakan ini selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa tanah di bawah kawalan JAIS hendaklah bersih dari sebarang pencerobohan.
“JAIS akan terus memastikan bahawa tiada sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalannya dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika ia berlaku.
“Semua tanah warta JAIS akan diperiksa semula dalam tempoh satu bulan akan datang untuk memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku. JAIS akan bersama-sama PDT dan pihak berkuasa tempatan dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, JAIS juga akan memeriksa semua tanah miliknya daripada pencerobohan.
Terdahulu, tular di media sosial pihak terbabit membina kuil peribadi di atas tanah warta kerajaan bagi mendirikan masjid.
Mohd. Shahzihan menjelaskan, pihak yang berada di tapak itu merupakan individu yang dipindahkan dari Ladang Galloway berikutan pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek pembangunan Cyberjaya.
“PDT Sepang telah memberi penempatan baru bagi pihak tersebut berpindah ke tanah rizab Sungai Langat dan telah mendapat status menduduki sementara (TOL),” katanya.
Pada 2007, Kerajaan Negeri telah mengarahkan pengosongan tanah tersebut bagi tujuan rizab masjid, namun berlaku tuntutan pampasan oleh penduduk.
Tanah seluas 10 ekar itu kemudian diwartakan pada 2011 sebagai tapak pembinaan masjid, termasuk sebahagian tanah rizab Sungai Langat yang masih diusahakan oleh pihak terbabit.
“Sejak awal, JAIS menganggap tanah tersebut kosong tanpa sebarang aktiviti. Namun pada 2024, kita kesan aktiviti dan pembinaan bangunan di atas tapak itu,” jelasnya.
Susulan itu, JAIS telah mengeluarkan surat pada 10 September 2024 kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang untuk mengambil tindakan mengikut Kanun Tanah Negara 1965.
Melalui tindakan terbabit, JAIS berpandangan laporan polis tidak perlu dibuat kerana PDT Sepang mempunyai kuasa di bawah Kanun Tanah Negara 1965 untuk menguatkuasakan pengosongan tanah kerana wujud aktiviti dan pembinaan bangunan, premis tanpa mendapat kebenaran daripada JAIS.
“Namun, JAIS akui tiada tindakan susulan diambil oleh PDT terhadap surat dari JAIS,” jelasnya lagi.
Baca juga: