PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tidak ada apa-apa yang luar biasa apabila seseorang kenamaan berada di bawah pemantauan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) negara ini.
Perdana Menteri berkata, beliau juga diletakkan di bawah status TCO dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.
“Saya pun ada (TCO), semua VIP (orang kenamaan) pun ada,” katanya ringkas selepas program Temu Anwar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak pagi ini, memetik laporan media tempatan.
Anwar mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mendakwa beliau dilabel dan ditanda sebagai individu di bawah status TCO dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS itu berkata, langkah berkenaan menjadikan dia seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket dan gangster, atau berstatus persona non grata (tidak dikehendaki) di tanah air sendiri.
Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyangkal dakwaan Ahmad Samsuri dengan berkata kerajaan tiada keperluan untuk mengintip pergerakan beliau.
Saifuddin Nasution berkata, ini kerana pemimpin PAS itu sentiasa didampingi anggota polis.
Saifuddin berkata, semua VVIP di negara ini berada di bawah pengawasan atas alasan keselamatan, tetapi hanya Samsuri yang memilih untuk mempertikaikannya.
TCO, katanya, adalah satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.
Baca juga: