KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dan Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit (3P) Muzik Malaysia menggesa tiga badan pengurusan kolektif agar menghormati serta mematuhi Garis Panduan Hak Cipta 2025 yang diumumkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada Januari lalu.
Tiga organisasi (CMO) itu ialah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM).
Presiden 3P, Aris Ariwatan berkata, garis panduan baharu itu bukan untuk menyekat mana-mana pihak, sebaliknya bertujuan mewujudkan keadilan dalam pengagihan royalti serta memperkukuh kedudukan penggiat muzik.
“Kami bukan menolak kewujudan CMO, malah kami adalah ahli mereka. Tapi mereka sepatutnya bekerja untuk kami, bukan mengerjakan kami,” katanya dipetik Berita Harian.

Jelas Aris, pihaknya kecewa apabila ada segelintir wakil industri yang menunjukkan sikap tidak sopan terhadap keputusan kerajaan dan seolah-olah mempersoalkan usaha mencari jalan tengah.
“Janganlah sampai menunjukkan kebiadaban kepada kerajaan, seolah-olah kami ini tiada harga. Tolong jangan keterlaluan,” katanya lagi.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan melakukan audit forensik terhadap ketiga-tiga CMO terbabit serta Music Rights Malaysia Berhad (MRM) yang telah dibubarkan.
Sebelum ini, ketiga-tiga CMO menyuarakan bantahan terhadap garis panduan tersebut kerana didakwa dimuktamadkan secara sebelah pihak dan mengandungi elemen yang melampaui bidang kuasa Akta Hak Cipta 1987.
Bagaimanapun, Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez menyangkal dakwaan itu dan menjelaskan bahawa beberapa siri perbincangan telah pun diadakan bersama pihak kementerian sebelum garis panduan diperkenalkan.
“Jika mereka benar-benar mahu suasana industri muzik yang harmoni, kita sedia berbincang. Tapi jangan jadi seperti diktator yang mahu terus berkuasa. Perubahan tetap perlu,” katanya.
Baca juga: