Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengadakan pertemuan rasmi dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Nguyen Hai Ninh di Hanoi pada Khamis, bagi memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang perundangan.
Menurut Azalina, pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha ASEAN untuk secara kolektif membina rantau sebagai hab penyelesaian pertikaian yang berkesan dan diyakini.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai cadangan Pernyataan Bersama oleh Menteri-Menteri Undang-Undang ASEAN serta membincangkan strategi berkesan dalam pembangunan timbang tara dan pengantaraan komersial antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang reformasi undang-undang perniagaan, keselamatan dalam talian dan undang-undang antirasuah.
Dalam pertemuan itu, Azalina turut menjemput secara rasmi Nguyen untuk menghadiri Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos depan.
“Forum ini adalah platform terbaik untuk mengesahkan komitmen ASEAN terhadap kerjasama dalam aspek perundangan dan integrasi ekonomi menerusi institusi undang-undang yang kukuh dan berdaya tahan.” Katanya.
Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada siri lawatan rasmi Azalina ke negara-negara anggota ASEAN, susulan Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN bagi tahun ini.
Baca juga: