Oleh : Aliyaa Azmi
KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk memulakan kerja awalan lima projek utama yang menjadi keutamaan di negeri Pahang.
Menurut Anwar, persetujuan itu dicapai hasil Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pahang yang dipengerusikannya bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan kerajaan negeri, semalam.
“Dalam mesyuarat tersebut, saya dibentangkan dengan pelbagai projek pembangunan dan perancangan jangka panjang membabitkan aspek infrastruktur asas seperti jalan raya, tebatan banjir, kesihatan, perkilangan, perumahan.
“Saya bersetuju dengan cadangan bagi memulakan kerja awalan bagi projek yang menjadi keutamaan di negeri Pahang.
“Lima projek itu ialah pembinaan persimpangan bertingkat Bukit Rangin, Jalan Kuantan-Chukai (FT03, penaiktarafan Jalan FT012 Jalan Kuantan-Segamat sepanjang 51 kilometer dan pakej 6 bagi Central Spine Road antara Karak-Simpang Pelangai.
“Selain itu penaiktarafan Jalan dari Kampung Padang ke Persimpangan Lampu Isyarat Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 (Fasa 2) dan pembinaan baharu Klinik Kesihatan Jenis 7 beserta 10 unit Kuarters Kelas F di Pos Lenjang, Pahang,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Jumaat.
Mesyuarat turut meneliti perkembangan terkini berkaitan warga miskin tegar di Pahang, yang disasar untuk dinoktahkan sepenuhnya menjelang hujung April ini.
“Saya percaya melalui perancangan dan pelaksanaan projek yang dirancang dengan teliti ia mampu membawa manfaat kepada warga Pahang serta limpahan pembangunan kepada negara,” katanya.
Anwar turut menekankan kepentingan peningkatan prestasi pentadbiran serta amalan tadbir urus yang baik dalam kalangan kepimpinan negeri.
“Di penghujung sesi mesyuarat, saya memberi penekanan terutamanya kepada barisan kepimpinan negeri untuk lantas tingkatkan prestasi serta perkemas prinsip ‘good governance’ supaya negeri dan negara dapat terus dilonjak ke tahap yang lebih cemerlang dan bermakna,” katanya.
Baca juga: