Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Penganjur acara Keretapi Sarong, Locco Malaysia, menegaskan komitmen mereka untuk mengekalkan nilai budaya yang harmoni dan bebas daripada kumpulan yang mendukung ideologi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Menerusi ciapan di platform X (Twitter), Locco menyeru peserta agar menjadi warga yang bertanggungjawab demi kelestarian budaya dan perpaduan.
“Kali ni kita jadi warga yang bertanggungjawab. Sekiranya nampak kumpulan ini, kita terus tegur. Acara budaya sepatutnya lebih murni dan bertanggungjawab ke atas kelestarian dan keharmonian budaya serta perpaduan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Para netizen juga menyokong Locco dengan menyatakan langkah itu diambil sebagai berjaga-jaga susulan teguran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap penganjuran beberapa acara sebelum ini yang didakwa dihadiri kumpulan LGBT, termasuk satu acara hiburan terkenal tanah air.

“Acara hiburan memang menjadi tumpuan kumpulan LGBT dan pro LGBT. Sudahnya yang nampak buruk nanti adalah kerajaan, sebab bagi ‘lesen’ untuk acara sebegini. Penguatkuasa agama sila siap sedia untuk pantau golongan ini” Komen netizen @zackzakirin13 di X.
Keretapi Sarong 2025 akan berlangsung serentak pada 13 September ini di beberapa lokasi termasuk Lembah Klang, Johor Bahru, Ipoh, Pasir Mas, Kuantan dan Sungai Petani. Ia turut dianjurkan rakyat Malaysia di luar negara seperti London, Paris dan Munich.
Acara ini sudah lebih sedekad dianjurkan dan menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia. Peserta memakai pakaian tradisional dan menaiki pengangkutan awam sebelum berkumpul di lokasi rahsia untuk pelbagai aktiviti seni dan budaya.
Dengan penekanan terhadap adab dan nilai tempatan, Locco yakin Keretapi Sarong 2025 kekal menjadi simbol kesantunan dan perpaduan rakyat Malaysia.
Baca juga: