Kerajaan turun harga benih padi RM2 mulai esok

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Mulai 15 April 2025 (Selasa), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan penurunan harga kawalan maksimum bagi benih padi sah (BPS) melalui Insentif Benih Padi Sah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan harga peringkat borong akan dikurangkan daripada RM58 kepada RM56 per kampit 20 kilogram (kg).

Manakala katanya, harga runcit pula diselaraskan daripada RM54 kepada RM52 per kampit 20 kg.

“Penyelarasan harga kawalan maksimum bagi BPS di peringkat borong dan runcit dilaksanakan melalui sesi libat urus yang diadakan oleh KPKM bersama pesawah dan pengeluar setelah mengambil kira pelbagai faktor antaranya kos pengeluaran BPS dan penyelarasan harga lantai belian padi.”

“Keputusan ini adalah sebahagian usaha KPKM untuk menjaga kebajikan pesawah dengan memastikan benih padi berkualiti tinggi dijual pada harga berpatutan.

“Langkah ini juga bertujuan untuk menjamin ketersediaan bekalan BPS demi keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu menegaskan terhadap mana-mana pihak yang didapati memanipulasi bekalan dan harga BPS seperti enggan menjual, menyorok bekalan, mengenakan syarat pembelian atau menjual melebihi harga kawalan maksimum yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya.

Tambahnya, arahan telah dikeluarkan kepada semua pemborong dan peruncit untuk menyelaraskan harga BPS di peringkat jualan masing-masing.

Terdahulu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) menggesa Bahagian Padi dan Beras di bawah KPKM menurunkan harga benih padi bagi musim pertama tahun ini.

Pengerusi Pesawah, Abdul Rashid Yob berkata, harga kawalan benih sebelum ini mencecah RM58 per kampit 20 kg, susulan penetapan harga pada Mac 2024, ketika harga kilang mencapai RM1,800 per tan.

Anda Mungkin Berminat