Penghormatan terakhir Abdullah Badawi dijadual 11 pagi ini

KUALA LUMPUR: Penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dijadualkan berlangsung pada jam 11 pagi hingga 1 tengah hari ini.

Susulan itu, persiapan akhir Istiadat Pengebumian Negara buat negarawan yang meninggal dunia pada 7.10 malam semalam sedang berlangsung di Masjid Negara, di sini.

Kumpulan pengusung jenazah yang terdiri daripada pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan persiapan bagi menyempurnakan istiadat tersebut.

Ia diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Azamri Abdullah.

Jenazah kemudian akan disembahyangkan selepas solat zohor di Masjid Negara sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Allahyarham, yang dikenali sebagai Pak Lah merupakan Perdana Menteri kelima, dan menjawat jawatan tersebut dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009.

Pengebumian Negara merujuk kepada upacara pengebumian rasmi yang dianjurkan oleh kerajaan bagi menghormati tokoh penting negara yang meninggal dunia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat