KPT ucap takziah, dukacita pelajar UUM maut dirempuh bas kampus

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan dukacita di atas pemergian seorang pelajar wanita Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terbabit dalam kemalangan dalam kampus universiti itu di Sintok, Kedah, semalam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarhamah Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua bas di Jalan Persiaran Perdana di UUM.

“KPT menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan penuntut terbabit selain mendoakan keluarga diberikan ketabahan menghadapi dugaan ini.

“Semoga roh Almarhumah ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya pada Ahad.

Zambry berkata, KPT dimaklumkan siasatan lanjut berkaitan insiden itu sedang dijalankan dan laporan penuh akan dimaklumkan kemudian.

Tambahnya, pihak UUM juga sudah mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu keluarga allahyarhamah.

Semalam, seorang penuntut wanita maut selepas dilanggar bas dalam kejadian di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM di Sintok kira-kira pukul 8.45 pagi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Manarina Hasya parah dan disahkan meninggal dunia pada pukul 6.30 petang ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku apabila pemandu bas lelaki berusia 37 tahun sedang berhenti di hadapan perhentian bas untuk mengambil penumpang sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lagi bas yang dipandu lelaki berusia 32 tahun.

“Impak pelanggaran itu telah menyebabkan bas yang berada di hadapan menggelongsor ke hadapan dan melanggar besi penghadang jalan sebelum terus menghimpit mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki menunggu giliran untuk menaiki bas berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang berasal dari Johor Bahru itu telah dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Anda Mungkin Berminat