PETALING JAYA: Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru pada Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 apabila kalah kepada pencabarnya, Mohd Taufiq Ismail.
Mohd Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda (AMK) Johor menang setelah memperoleh sebanyak 709 undi pada pemilihan parti itu peringkat Cabang, yang berlangsung serentak dengan sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Ahad.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru hanya meraih sebanyak 587 undi.
Keputusan itu diumumkan menerusi laman sesawang rasmi Pemilihan PKR 2025 di https://pemilihan.keadilanrakyat.org.
Sementara itu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh menang tanpa bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Ledang.
Selain itu, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mempertahankan jawatan Ketua Cabang Simpang Renggam dengan memperoleh 125 undi.
Proses pemilihan fasa dua bagi peringkat Cabang itu yang bermula dari 18 hingga 20 April, membabitkan Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Johor dan Sabah.
Pemilihan fasa satu, yang berlangsung dari 11 hingga 13 April, pula membabitkan Kedah, Perlis, Selangor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak.
Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan AMK Pusat (MPAMKP) parti berkenaan akan diadakan pada 24 Mei ini.