Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Saleh Hudin melontarkan kritikan terhadap kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan keutamaan kemenangan politik dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning dengan peristiwa bersejarah Perjanjian Hudaibiyah.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk manipulasi sejarah dan sirah Nabi Muhammad SAW yang berpotensi membahayakan.
Dalam ulasan video yang dimuat naik di akaun TikTok, Dr Abu Hafiz berkata, kenyataan Hadi boleh mencetuskan naratif takfiri, iaitu pandangan yang menggambarkan hanya parti tertentu mewakili Islam, manakala pihak lain tidak.
“Beliau (Hadi) menyebut kemenangan politik lebih utama daripada menunaikan haji dan umrah, sambil merujuk peristiwa Nabi SAW dihalang melaksanakan umrah sebelum termeterainya Perjanjian Hudaibiyah.
“Sedangkan Hudaibiyah berlaku antara Nabi (Muhammad SAW) dan kafir Quraisy, bukan sesama umat Islam,” katanya.
Dr Abu Hafiz turut mempersoalkan tindakan menyamakan PRK Ayer Kuning yang menyaksikan pertembungan antara calon PAS dan calon Kerajaan Perpaduan sebagai pertarungan antara Islam dan bukan Islam.
“Adakah Ustaz Dr Yusri dari Barisan Nasional itu bukan Islam? Adakah beliau mewakili Quraisy? Ini tafsiran yang sangat berbahaya. Islam tidak boleh dimonopoli oleh satu parti semata-mata,” ujarnya.
Beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap naratif yang boleh mengelirukan masyarakat dan memberi persepsi bahawa pihak yang tidak menyokong PAS dianggap tidak berada dalam landasan Islam.
Tamba beliau, rukun Islam seperti haji tidak boleh diketepikan demi agenda politik.
“Haji adalah rukun Islam. Ramai yang sudah menunggu giliran, bukan semudah itu untuk batalkan hanya kerana PRK.
“Kita tak boleh sewenang-wenangnya memperlekehkan kefarduan ini,” jelasnya.
Dr Abu Hafiz turut menyeru pihak berwajib dan institusi agama agar lebih peka terhadap wacana-wacana berbaur takfiri yang semakin berleluasa dalam politik.
“Isu ini tak boleh dibiarkan. Ini bukan kerja bermusim, tapi kerja berterusan untuk memelihara Islam daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” katanya.
Walaupun menghormati keilmuan Hadi, Dr Abu Hafiz berkata, sebarang kenyataan yang membawa kepada kekeliruan umat Islam perlu ditegur dan dinilai secara objektif demi kemaslahatan bersama.