Anwar ucap takziah pemergian isteri Presiden pertama Singapura

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian isteri kepada Presiden pertama Singapura, Allahyarhamah Noor Aishah Salim pagi tadi.

Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Singapura, malah kepada rantau ini, khususnya bagi wanita yang menjadikan beliau sebagai teladan.

“Saya menerima berita pemergian isteri kepada Presiden pertama Singapura, Encik Yusof Ishak yakni Puan Noor Aishah pada usia 91 tahun.

“Perginya seorang tokoh wanita yang menjadi tunjang kekuatan Singapura di tahun-tahun pembentukan identiti nasional mereka amat mengusik jiwa,” katanya.

Anwar berkata, Allahyarhamah tidak sekadar pendamping kepada seorang tokoh dan pemimpin negara, tetapi merupakan ikon kesetiaan dan kemuliaan budi yang menjadi teladan kepada wanita di rantau ini.

Katanya, kesederhanaan beliau ternyata menjambatani hubungan antara pemimpin dengan rakyat terbanyak.

“Lantas saya bersama seluruh rakyat Malaysia, menyampaikan ucapan takziah yang terdalam kepada keluarga almarhumah.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.

Terdahulu, isteri kepada Presiden pertama Singapura itu meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Besar Singapura, hari ini.

Berita duka pemergian isteri Allahyarham Yusof Ishak itu dikongsikan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menerusi hantaran di Facebook.

Allahyarham Noor Aishah dilahirkan di Selangor pada 1933 dan berkahwin dengan Yusof pada 1949 ketika berusia 16 tahun.

Anda Mungkin Berminat