SABAK BERNAM: Sebuah taska Tali Air 11 di Pasir Panjang, Sekinchan berdepan detik cemas apabila tiga lelaki bertindak nekad melakukan samun bersenjata parang dalam kejadian pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendant Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang perempuan yang juga tenaga pengajar taska tersebut pada jam 9.35 pagi.
Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika pihak pengurusan sedang menunggu kedatangan pelajar ke taska.

“Tiba-tiba ketiga-tiga suspek yang menaiki sebuah kereta Perodua Bezza meluru masuk ke taska berkenaan dan mengacukan parang ke arah dua orang guru wanita serta seorang pembantu di premis berkenaan.
“Sewaktu kejadian terdapat seramai 10 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun di dalam premis tersebut, namun kesemua mereka dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Suspek telah melarikan beberapa barangan berharga milik guru termasuk dua utas rantai emas, dua utas gelang, sebentuk cincin serta sebuah telefon bimbit jenama Realme,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Md Yusof, salah seorang guru wanita turut menjadi mangsa apabila ditampar dua kali di bahagian pipi oleh salah seorang suspek sebelum mereka melarikan diri.
Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan serius dilaporkan dalam insiden itu, namun polis kini giat memburu ketiga-tiga suspek yang dipercayai warga tempatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam,” katanya lagi.
Baca juga: