PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) merakamkan ucapan takziah atas pemergian Pope Francis, Ketua Gereja Roman Katolik pertama dari Amerika Latin yang meninggal dunia pada Selasa lalu.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohammad Sabu, dalam hantaran di Facebook hari ini menyifatkan Pope Francis sebagai pemimpin spiritual yang menjadi simbol keberanian moral dan suara hati nurani dunia.
Menurut Mohamad Sabu, di tengah-tengah era gelap umat manusia yang menyaksikan genosid di Gaza, Pope Francis tampil sebagai suara yang lantang menentang kezaliman.
“Beliau (Pope Francis) tegas menyatakan kekejaman regim Zionis di Gaza mempunyai ciri-ciri genosid, satu kenyataan yang membongkar kemunafikan banyak pemimpin dunia yang memilih untuk mendiamkan diri, malah ada yang bersubahat.
“Lebih daripada sekadar kata-kata, Pope Francis meniupkan semangat ke dalam jiwa penganut Katolik di Eropah dan seluruh dunia untuk bangkit menentang ketidakadilan,” katanya.
Mohammad Sabu turut menegaskan bahawa keberanian Pope Francis membuktikan bahawa perjuangan menentang kekejaman regim Zionis bukan sekadar isu politik atau agama tetapi adalah perjuangan kemanusiaan sejagat.
Beliau turut mengkritik pemimpin Arab yang menurutnya lebih sibuk dengan kemewahan dan memilih untuk berdiam diri atau berdakapan mesra dengan pihak yang menzalimi rakyat Palestin.
“Di saat pemimpin-pemimpin Arab bermaharajalela dengan kemewahan petro dolar, memilih berdiam diri atau lebih malang, berdakapan mesra dengan mereka yang menzalimi rakyat Palestin, Pope Francis berdiri teguh di sisi mangsa,” ujar Mohamad Sabu.
Beliau juga berharap agar pemimpin dunia Arab dapat mencontohi keberanian Pope Francis dan tidak hanya menjadi jaguh di pentas kemewahan tetapi dayus di medan keadilan dan kemanusiaan.
“Menentang kekejaman regim Zionis adalah perjuangan kemanusiaan dan Pope Francis turut menjadi lambang kepada perjuangan kemanusiaan ini,” katanya.
Pope Francis meninggal dunia pada usia 88 tahun akibat strok, kurang 24 jam selepas memimpin upacara Paskah di Dataran St. Peter.
Sebelum ini, beliau telah dirawat selama lima minggu akibat jangkitan radang paru-paru berganda.