SPM 2024 Catat Keputusan Terbaik, 14,179 Calon Peroleh Semua A – KPM

PETALING JAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 merekodkan pencapaian terbaik dalam tempoh 11 tahun lalu iaitu sejak diperkenalkan syarat pensijilan wajib lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah pada tahun 2013.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, nilai gred purata keseluruhan (GPK) pada 2024 merekodkan pencapaian pada 4.49 mata berbanding 4.6 mata pada 2023.

“Keputusan semua mata pelajaran A juga meningkat iaitu seramai 14,179 atau 3.7 peratus memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A-, berbanding 11,713 calon pada 2023.

“Bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2024, turut menunjukkan peningkatan, iaitu seramai 86,040 calon, berbanding 83,112 calon pada 2023.

“Manakala, calon yang memperoleh keputusan lulus sekurang-kurangnya gred E juga meningkat kepada 136,791 calon berbanding 131,489 (2023).

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2024 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya pada Khamis.

Menurutnya lagi, jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar turut menunjukkan peningkatan positif, dengan perbezaan hanya 0.02 mata berbanding tahun 2023.

Secara keseluruhan, Azman berkata, seramai 402,918 calon menduduki SPM 2024, meningkat berbanding 373,924 calon pada 2023.

Sementara itu, tambahnya, calon boleh mendapatkan keputusan masing-masing di sekolah mulai pukul 10 pagi ini.

Semakan secara dalam talian juga boleh dibuat melalui laman web myresultspm.moe.gov.my atau menerusi SMS yang dibuka mulai jam 10 pagi hari ini sehingga jam 6 petang, 30 April.

Anda Mungkin Berminat