PUTRAJAYA: Seramai 1,789 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 gagal atau mendapat gred G dalam semua mata pelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, jumlah itu meningkat berbanding 1,467 calon pada tahun 2023, iaitu sebanyak 322 calon.
“Antara faktor yang menyumbang kepada hal ini termasuklah calon yang tidak memberikan fokus kepada proses pembelajaran selain sebahagian besar mereka ini bekerja pada waktu malam terutama calon di kawasan bandar.
“Ada sedikit juga calon yang menghadapi masalah literasi dan numerasi yang tidak ditangani lebih awal sekurang-kurangnya sokongan daripada persekitaran pembelajaran di rumah,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2024 pada Khamis.
Selain itu, kata beliau, kegagalan dalam semua mata pelajaran tersebut juga berlaku dalam kalangan calon SPM yang menghadapi masalah literasi dan numerasi yang tidak diatasi di peringkat lebih awal.
Dalam masa sama, jelas beliau, isu berkaitan kekeluargaan turut membawa kesan kepada pencapaian calon SPM berkenaan menyebabkan mereka gagal semua mata pelajaran.
Untuk itu, katanya, KPM sedang menilai pendekatan untuk kumpulan itu bagi SPM 2025 terutamanya memperkukuhkan program pemulihan berkaitan dengan keupayaan anak-anak untuk menganalisis.
“Ini termasuk memperluaskan inisiatif sokongan akademik yang bersasar, mengaktifkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi dan komuniti untuk membantu murid khususnya murid-murid berisiko tinggi.
“Intervensi lanjutan ini penting untuk mengelakkan keciciran akademik berulang dalam kalangan murid yang memerlukan bantuan khas.
“Daripada keputusan ini kita akan berikan fokus untuk tahun 2025 supaya kita dapat bersedia lebih awal bagi menangani kemungkinan berlakunya isu-isu berulang seperti ini,” katanya.
Mengulas mengenai isu calon tidak hadir SPM 2024 iaitu seramai 6,246 orang, Azman berkata, faktor sudah bekerja dan tinggal di luar kawasan sekolah mereka menjadi penyumbang utama calon tidak menduduki SPM 2024 iaitu sebanyak 57.8 peratus.
Sebanyak 35.5 peratus calon tidak hadir SPM 2024 disebabkan berdepan pelbagai masalah keluarga, manakala 4.7 peratus daripada mereka mempunyai masalah kesihatan dengan selebihnya disebabkan pelbagai faktor lain.
Baca juga: