Nasional

Kerajaan Perpaduan hanya belanja RM56.9 juta untuk iklan, publisiti

Kementerian Kewangan mengesahkan Kerajaan Perpaduan hanya membelanjakan sekitar RM56.9 juta untuk kerja-kerja pengiklanan, promosi dan publisiti dalam menghebahkan agenda kerajaan.

MOF dalam kenyataan memberitahu, jumlah perbelanjaan itu merupakan sebahagian daripada lebihan nilai kontrak komunikasi daripada pentadbiran terdahulu.

“Terdapat lebihan nilai kontrak komunikasi yang dimeterai semasa pentadbiran lalu tidak dibelanjakan pada tahun 2022.

“Sehubungan itu, untuk tahun 2023, perbelanjaan komunikasi Kerajaan MADANI setakat ini telah menggunakan hanya sebahagian lebihan nilai kontrak komunikasi pentadbiran lalu iaitu sebanyak RM56.9 juta.

“Tiada kontrak komunikasi baharu telah dianugerahkan semasa tahun 2023 oleh pentadbiran Kerajaan MADANI,” katanya.

Pada masa sama, MOF mengesahkan, jumlah perbelanjaan untuk kerja-kerja pengiklanan bagi tempoh 2020 hingga 2022 semasa dua pentadbiran lalu telah mencecah RM700 juta.

Menurutnya perbelanjaan tersebut digunakan dua pentadbiran lalu untuk menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan melalui semua platform media massa termasuk papan iklan, media cetak, media elektronik (televisyen dan radio) serta media sosial.

MOF berkata, bagi tahun hadapan, pentadbiran Kerajaan MADANI akan mengurangkan perbelanjaan bagi pengiklanan, promosi dan publisiti untuk tidak melebihi RM100 juta iaitu separuh daripada nilai purata perbelanjaan sebelum ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Parlimen memaklum, Tan Seri Muhyiddin Yassin membelanjakan dana kerajaan sebesar RM300 juta dalam tempoh setahun bagi tujuan promosi dan publisiti ketika beliau menjadi Perdana Menteri tiga tahun lalu.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close