Ceramah PN sedap macam lagu Hindi, tapi isinya kosong – Tok Him

PETALING JAYA: Kekalahan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning adalah kerana kelemahan strategi terutamanya isu yang tidak dapat meyakinkan rakyat, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata keghairahan PN yang bermain isu UmDap untuk timbul kebencian orang Melayu serta isu kandang babi secara tidak langsung membantu pengundi Cina benci PN (PAS).

“Kalau ikut momentum politik negara yg sedang berdepan dengan 101 macam isu, keyakinan untuk PN ada, walaupun sukar.

“Manakala undi Melayu UMNO akar umbi kekal tidak berubah walaupun berbagai isu dihadapi. Jika lari pun sekitar 20 hingga 30 peratus.

“PN sepatutnya guna isu kos sara hidup sebagai isu utama dan isu ini memang tulin. Harga barang-barang naik, isu beras tempatan hilang dan Kerajaan Madani lebih retorik, pembohong dan gagal tunai janji sejak tubuh kerajaan perpaduan madani yg indah khabar dari rupa,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Ibrahim yang juga dikenali sebagai Tok Him menyatakan permainan politik sentimen sudah ketinggalan zaman kerana anak muda genarasi sekarang sudah berada di zaman kecerdasan buatan (AI).

“Strategi bodoh dan bangang. Saya ikuti kempen dan dengar ceramah semua parti yang bertanding termasuk PSM (Parti Sosialis Malaysia). Ceramah Pemimpin PN bunyi sedap macam lagu hindi. Ceramah syok sendiri dan membesar diri, isinya kosong.

“Sedar atau tidak, perubahan mana-mana kerajaan melalui PRU (pilihanraya umum) adalah kos sara hidup. Malah berlaku revolusi atau coup d’etat pun kerana isu kos sara hidup.

“Kesombongan pemimpin-pemimpin PN untuk mendapat maklum balas dari segi strategi dan isu dari pihak-pihak pemegang taruh langsung tidak diberi perhatian dan sombong.

“Kalau terus begini selesalah PH atau BN khususnya PMX menghadapi PRU ke 16. Hiduplah PN dengan mimpi di siang hari,” jelasnya lagi.

Terdahulu, PRK diadakan susulan pemergian penyandang kerusi, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada Februari lalu.

Dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 58.07 peratus, calon BN, Dr Mohamad Yusri berjaya mengekalkan DUN Ayer Kuning sebagai kubu kuat BN sejak 1986.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat