Hanya transformasi berani tingkatkan sistem pendidikan negara

Oleh: Dr Anuar Ahmad

ULASAN | Tahniah YB Fadhlina Sidek. Setuju bahawa sistem pendidikan negara ini harus melalui fasa transformasi berani. Bukan lagi sekadar penambahbaikan dan tempelan penyesuaian secara minimum di sana sini. 

Kita tidak boleh lagi bersikap reaktif untuk memajukan sistem pendidikan negara. Kita tidak boleh lagi bersikap seperti ‘tikus membaiki labu’. Kita perlu kepada langkah proaktif dan keberanian mencabar masa depan. Kena berani demi masa depan anak-anak kita. Semua itu tidak boleh tercapai sekadar dengan amalan intervensi, slogan, kempen atau program adhoc ‘lancar-luncur’ seperti sekarang. 

Amalan, pemikiran  dan budaya lama dalam sistem pendidikan negara mesti dinilai semula. Bukan sekadar transformasi  amalan keguruan, silibus atau PDPc (pembelajaran dan pemudahcaraan). Tetapi lebih daripada itu. Bermula dengan melakukan transformasi kepimpinan pendidikan. 

Apa yang penting sekarang ialah berani untuk melakukan transformasi terhadap budaya lama kepimpinan pelbagai peringkat pendidikan dan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian pendidikan negara. Ini sepatutnya menjadikan keutamaan dalam transformasi sistem pendidikan negara. Inilah teras utama yang mesti diselesaikan dahulu. Mesti berani membuat perubahan. 

Hanya dengan transformasi yang berani terhadap budaya lama kepimpinan dan penyampaian sistem pendidikan negara, barulah kredibiliti dan kepercayaan semua pemegang taruh kepada sistem pendidikan negara akan meningkat.

Sistem pendidikan negara perlu kepada perubahan yang segera. Jika tidak, anak-anak kita akan terus ketinggalan berbanding anak-anak di negara lain. Pencapaian PISA (program pentaksiran dan kajian antarabangsa) adalah bukti terbaik untuk kita sedar tentang masalah pendidikan negara ini. 

Maka pihak yang terkait dengan pendidikan negara sibuk melakukan usaha masing-masing. Diperkenalkan berbagai perkara- dasar pendidikan digital, silibus AI (kecerdasan buatan) intervensi kurikulum, kerangka Kurikulum Baharu, Karamah Insaniah, jalur gemilang di baju uniform, Smart board dan berbagai lagi. Pada saya, semua itu adalah usaha yang baik. 

Tetapi tanpa kita sedar adakalanya dalam kesibukan kita mahu melakukan perubahan kepada pendidikan, kita mungkin anggap pandangan orang di sekeliling kita sudah tidak penting lagi. Kita sudah tidak melihat kiri dan kanan lagi. Pandangan, teguran dan kritikan pihak lain kepada kelemahan sistem pendidikan negara, seperti sudah tidak perlu lagi. Kita hanya lihat apa yang kita mahu lihat sahaja. Titik. 

Hakikatnya, banyak hal yang dikritik ada manfaat kalau kita mahu ambil perhatian. 

Guru terbeban belum selesai, kelas sesak murid belum selesai, silibus yang berat belum selesai dan banyak lagi belum selesai..

PBD juga adalah contoh hal yang belum selesai

Berbagai pihak dari guru-guru, ibu bapa dan murid sendiri setuju PBD (pelaporan pentaksiran bilik darjah) bermasalah. Itulah yang saya sering dengar. Malangnya kita tak dengar pandangan mereka. Kita teruskan juga PBD.  Sedangkan PBD di negara maju berbeza sekali amalannya. 

Kelas mereka tak sesak murid, guru-guru mereka mempunyai autonomi dalam PBD, kurikulum mereka fleksibel, aktiviti dalam kelas selari dgn PBD. 

Kita tidak begitu. Kita ambil dan laksanakan PBD setengah jalan. Setengah masak. Cuba anda beri nama satu negara di dunia yang laksanakan PBD di dalam kelas yang ada 45, 50 atau lebih murid? Ada? 

Cuba anda berikan satu negara di dunia yang laksanakan PBD di mana guru perlu mengajar lima kelas berbeza setiap hari? Ada? 

Cuba anda namakan satu negara yang laksanakan PBD dengan beban silibus yang banyak dan berat seperti negara kita? Ada?

Negara maju laksanakan PBD bila mereka sudah selesaikan isu kelas yang sesak murid, bila guru sudah mahir dengan PDPc Terbeza dan mempunyai autonomi penuh terhadap PDPc. Mereka laksanakan PBD apabila sudah ada berbagai kemudahan pembelajaran di dalam setiap kelas. Sebab itu PBD mereka menarik dan berkesan. Kita? 

Percayalah, bila ramai pihak berikan pandangan, teguran atau kritikan tentang pendidikan negara, itu tandanya mereka peduli dengan sistem pendidikan negara. Mereka bukan musuh.

***Penulis adalah Felo Bersekutu Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) dan giat menulis mengenai isu pendidikan di sosial medianya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat